Follow us

Friday, 1 June 2018

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Makropengajaran 2

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Makropengajaran 2



Tarikh:
12 April 2018

Kelas:
4 Ehsan

Matapelajaran:
Kesusasteraan Melayu

Hasil Pembelajaran:
Hasil Pembelajaran

Huraian Hasil Pembelajaran
Hasil Pembelajaran Utama (HPU)
6.0 Menghuraikan latar dalam drama

Hasil Pembelajaran Keseluruhan (HPK)

6.3  Menghubungkaitkan latar tempat, latar masa dan latar masyarakat dengan peristiwa dalam karya.













Aras 1
i.                    Menyenaraikan latar masa, latar tempat dan latar masyarakat.

Aras 1
ii.                  Menjelaskan kesesuaian latar dengan cerita dalam karya.



ABM/bahan sumber yang digunakan:
Makropengajaran 1 di kelas tersebut mengambil masa 35 minit 4 saat daripada bermulanya set induksi sehingga ke bahagian penutup. Mengulas tentang set induksi, alat bantu mengajar (ABM) yang saya gunakan ialah komputer riba, Overhead Projector (OHP) dan skrin layar. ABM tersebut membantu saya untuk menayangkan video bagi sesi induksi berkenaan topik yang diajarkan di dalam kelas. Video tersebut mengisarkan tentang kasih-sayang seorang anak dalam menjaga ibunya yang sudah tua dan uzur. Saya meminta murid menaganalisis perkaitan peristiwa di dalam video tersebut dengan topik pembelajaran latar yang akan diajar oleh guru pada hari tersebut. Di akhir tayangan video tersebut, saya mengemukakan soalan kepada murid untuk dijawab berdasarkan video yang ditonton. Video tersebut juga mempunyai perkaitan dengan topik yang akan diajar pada langkah 1 nanti. Di bawah ini merupakan pautan video yang diambil daripada Youtube:
(YouTube)



Seterusnya, saya juga masih menggunakan ketiga-tiga ABM tersebut iaitu komputer riba, Overhead Projector (OHP) dan skrin layar. Tujuannya ialah, saya perlu menayangkan slide Power Point berkenaan perkaitan latar dengan peristiwa dalam di drama Anna kepada murid. Power Point ini merupakan sebuah perisian di dalam komputer yang boleh memuatkan nota dalam bentuk persembahan yang menarik. Penerangan tentang topik yang diajar sangat perlu supaya murid dapat gambaran yang jelas tentang apa yang akan mereka belajar di dalam kelas. Setelah selesai membuat penerangan melalui perisian Power Point, saya membahagikan murid kepada lima buah kumpulan. Murid akan melakukan aktiviti Jelajah Puzzle. Sebelum murid melakukan aktiviti tersebut, murid diterangkan oleh guru mengenai aktiviti tersebut. Puzzle merupakan sebuah permainan menyusun kepingan gambar sehingga menjadi sebuah gambar yang lengkap. Melalui Puzzle yang direka bentuk oleh saya, murid perlu menyusun serpihan-serpihan kecil kepingan  tersebut sehingga menjadikan sebuah jenis latar yang betul iaitu latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang terdapat di dalam drama Anna. Bagi aktiviti Jelajah Puzzle, setiap kumpulan diedarkan satu set permainan Puzzle dan diperuntukkan selama 2 minit untuk menyelesaikannya. Setiap kumpulan perlu melengkapkan Puzzle masing-masing dengan bertukar-tukar Puzzle bersama ahli kumpulan yang lain. Hanya seorang wakil kumpulan sahaja yang perlu bergerak ke setiap kumpulan yang lain untuk bertukar-tukar Puzzle. Setelah Puzzle bagi setiap kumpulan lengkap. Setiap ahli dalam kumpulan perlu menyalin hasil Puzzle yang telah lengkap ke dalam buku nota masing-masing. Di bawah ini merupakan paparan slide Power Point berkenaan perkaitan latar dengan peristiwa dalam di drama Anna:







Di bawah ini merupakan gambar bahan bantu mengajar Puzzle bagi aktiviti Jelajah Puzzle:










         









 













 






Bagi langkah 2, saya menerangkan kepada murid tentang aktiviti Peta I-Think beracun. Saya juga mengarahkan murid supaya kekal berada di dalam kumpulan yang sama.
Saya mengedarkan satu kotak kecil yang mengandungi lima helaian kertas. Setiap helaian kertas mengandungi jenis latar yang berbeza iaitu latar tempat, latar masa dan latar masyarakat. Setiap jenis latar dikepilkan bersama peristiwa yang terdapat dalam drama Anna. Setiap kumpulan perlu mencabut satu helaian kertas. Setiap kumpulan perlu menganalisis jenis latar yang diberi dalam peristiwa yang dikepilkan. Di bawah ini merupakan gambar kotak kecil yang mengandungi lima helaian kertas tersebut:







Guru melekatkan tiga buah kad manila yang mengandungi peta I-Think pada papan putih di hadapan kelas. Guru juga mengedarkan tiga keratan kertas A4 kepada setiap kumpulan. Di bawah ini adalah gambar peta i-Think yang dilekatkan di papan putih di hadapan kelas:








Setiap kumpulan perlu menulis hasil perbincangan mereka dalam keratan kertas A4 dengan latar masing-masing.
Murid perlu menampal keratan kertas A4 tersebut dengan menggunakan pita pelekat pada kad manila yang mengandungi peta I-Think kosong. Kumpulan yang mendapat latar tempat perlu mengisi jenis latar dan peristiwa ke dalam peta buih manakala kumpulan yang mendapat latar masa perlu menulisnya pada peta dakap. Bagi kumpulan yang mendapat latar masyarakat pula, mereka perlu menulis jenis latar dan peristiwa pada peta pokok. Guru memberikan masa selama 10 minit untuk setiap kumpulan berbincang dan mencatatkannya di dalam peta I-Think. Setiap kumpulan perlu mengambil nota berdasarkan peta I-Think yang telah lengkap pada papan putih ke dalam buku nota masing-masing. Di bawah ini merupakan gambar peta i-Think yang telah dilengkapkan oleh setiap kumpulan melalui aktiviti peta i-Think beracun:







         




Peta buih













Peta pokok

          









Peta Dakap

Langkah 3, saya hanya menggunakan lembaran kerja. Soalan di dalam lembaran kerja tersebut merangkumi keseluruhan topik yang diajarkan di dalam kelas. Murid hanya diperuntukkan masa selama 4 minit untuk menjawabnya. Setelah murid selesai menjawab, lembaran kerja murid dikutip untuk dibuat semakan. Di bawah ini dilampirkan lembaran kerja yang diedarkan kepada murid untuk disiapkan:



         








Bagi sesi penutup, saya telah menyediakan satu set Traffic Light Cards kepada setiap kumpulan. Satu set Traffic Light Cards tersebut mengandungi terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning. Warna hijau bermaksud murid sudah faham mengenai objektif pembelajaran pada hari tersebut. Warna kuning adalah pelajar masih keliru dengan pembelajaran dan warna merah bermaksud murid tersebut langsung tidak faham dengan pembelajaran pada hari tersebut. Semasa sesi penilaian, jika ramai murid yang mengangkat warna hijau, guru akan terus fokus kepada murid yang masih kurang faham, iaitu yang mengangkat warna merah dan kuning. Tetapi  jika ramai murid yang mengangkat warna kuning, guru mengulangi semula pengajaran. Di bawah ini merupakan gambar Traffic light Cards:





Strategi pengajaran yang digunakan hari ini (terangkan bagaimana strategi telah dilaksanakan):

Strategi merujuk kepada satu set aksi pengajaran yang bertujuan mencapai matlamat yang diperlukan. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah disarankan oleh kurikulum baru adalah berpusatkan pelajar. Di bawah strategi ini, peranan pelajar adalah diutamakan. Ini beerti, mereka didorongkan untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran secara keseluruhan dan bertindak secara aktif dalam semua aktiviti pembelajaran bilik darjah. Walau bagaimanapun, ada ketika tertentu, guru juga terpaksa memainkan peranannya lebih banyak. Guru perlu menukar strateginya untuk pengajaran yang lebih berkesan. Hal ini demikian kerana, apabila murid dimulakan dengan menjalankan aktiviti tanpa sebarang penerangan daripada guru terlebih dahulu, murid tidak dapat mencapai obejktif pengajaran di dalam P&P. Murid perlu dibekalkan pendedahan dan pengetahuan awal daripada guru mereka tentang sesuatu topik yang diajarkan.

          Strategi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh diklasifikasikan dalam tiga bentuk iaitu strategi pemusatan guru, strategi pemusatan pelajar dan strategi pemusatan bahan. Di dalam pengajaran dan pembelajaran makropengajaran 1 ini, saya menggunakan ketiga-tiga strategi iaitu strategi pemusatan guru, strategi pemusatan pelajar dan juga strategi pemusatan bahan. Strategi pemusatan guru diaplikasikan dalam set induksi dan di awal langkah 1 dan 2 iaitu menggunakan kaedah penerangan. Saya memberi penerangan kepada murid secara panjang lebar mengenai topik yang dibincangkan pada hari tersebut iaitu perkaitan latar dengan peristiwa di dalam drama Anna. Penerangan ini dipersembahkan kepada murid dalam bentuk tayangan slide Power Point. Penerangan ini amat penting supaya murid memperoleh gambaran tentang topik yang akan diajarkan. Ia juga bertujuan untuk dijadikan panduan bagi murid mengikuti aktiviti yang akan mereka lalui.

          Seterusnya, saya juga menggunakan strategi pemusatan pelajar. Strategi yang berpusatkan pelajar ini menekankan lebih banyak peranan dan penglibatan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid mengambil bahagian dan bekerja secara aktif. Strategi yang saya perkenalkan ialah kaedah berkumpulan dan perbincangan. Di dalam bentuk berkumpulan tersebut, murid melakukan aktiviti peta i-Think beracun. Setiap kumpulan akan diedarkan sebuah kotak kecil yang berisi skrip drama Anna yang perlu dianalisis oleh setiap kumpulan. Setiap kumpulan perlu menganalisis jenis latar yang diberi berdasarkan skrip drama Anna tersebut. Kemudian, wakil bagi setiap kumpulan perlu melekatkan hasil perbincangan kumpulan masing-masing pada peta i-Think yang dipaparkan di papan putih di hadapan kelas. Setelah selesai, setiap pelajar perlu mencatatkan hasil peta i-Think yang mengandungi perkaitan latar dengan peristiwa di dalam drama Anna ke dalam buku nota masing-masing. Aktiviti ini sememangnya menggalakkan pelajar untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan pendapat dan didorong membuat keputusan yang berkesan. Secara tidak langsung, sikap kerjasama dapat dibentuk melalui aktiviti kumpulan.

          Strategi yang berpusatkan bahan menekankan lebih banyak kepada peranan dan penggunaan bahan-bahan pengajaran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan bahan dalam pengajaran sememangnya dapat membantu tugas-tugas guru dalam kelas dan turut membantu murid dalam melaksanakan pembelajaran kendiri dengan berkesan. Saya telah menyediakan pelbagai bahan kepada murid sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pada langkah 1, saya menyediakan lima set permainan Puzzle yang mengandungi jenis latar yang terdapat di dalam drama Anna. Langkah 2 pula saya menggunakan kad manila yang mengandungi peta i-Think. Saya juga mengedarkan kepada murid sebuah kotak kecil berisi skrip drama Anna dan juga beberapa set kertas A4 bagi setiap kumpulan dan juga pen marker yang berwarna warni. Saya juga turut mengedarkan satu lagi lembaran kerja pada langkah 3 sebagai aktiviti pengukuhan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi penutup pula saya menyediakan satu set Traffic Light Cards kepada setiap kumpulan. Satu set Traffic Light Cards tersebut mengandungi terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning. Saya melihat bahawa penggunaan murid terhadap bahan-bahan tersebut secara sepenuhnya dapat menyalurkan pengetahuan dan menggerakkan aktiviti untuk menguasai sesuatu kemahiran.

Adakah hasil pembelajaran saya dicapai? Bagaimana saya tahu?



Objektif pengajaran dan pembelajaran tidak tercapai sepenuhnya. Saya melihat bahawa murid hanya dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran pada langkah 1 sahaja. Objektif P&P pada langkah 1 ialah menyenaraikan latar masa, latar tempat dan latar masyarakat dalam drama Anna melalui teknik Jelajah Puzzle. Pada langkah 1 ini, murid telah diberi penerangan terlebih dahulu daripada guru melalui slide Power Point. Kemudian, murid menjalankan aktiviti jelajah Puzzle dalam bentuk berkumpulan. Setiap kumpulan dapat menyiapkan permainan Puzzle tersebut dalam masa yang singkat tanpa menerima bantuan dan bimbingan daripada saya. Puzzle yang dibina oleh murid-murid juga tepat dan tiada kesalahan.

Walau bagaimanapun, objektif pengajaran dan pembelajaran pada langkah 2 tidak tercapai. Melalui objektif ini, murid perlu Menghuraikan sekurang-kurangnya tiga jenis kesesuaian latar dengan cerita dalam drama Anna melalui teknik Peta i-Think beracun. Saya mendapati 2 buah kumpulan gagal untuk menganalisis jenis latar yang terdapat di dalam skrip drama Anna yang diberikan. Murid mengatakan bahawa aras skrip drama tersebut adalah tinggi menyebabkan mereka sukar untuk membuat analisis. Setelah saya memberikan bantuan dan bimbingan kepada mereka, barulah murid-murid tersebut dapat menjawab dengan baik.

Adakah murid saya melibatkan diri secara produktif /aktif? Kalau ya - bagaimana saya tahu? Kalau tidak – mengapa?

Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, saya dapat simpulkan bahawa murid kelas 4 Ehsan melibatkan diri secara produktif dan aktif. Pada sesi induksi, murid aktif dalam memberikan respon terhadap video yang dipaparkan oleh guru di hadapan kelas. Tiga orang murid yang ditanya oleh guru melalui video yang ditonton memberikan jawapan bernas dan intelek. Masing-masing tidak malu-malu untuk tampil memberikan jawapan terhadap soalan yang diutarakan. Apabila diminta memberikan jawapan terhadap soalan yang dikemukan, murid-murid ini lantas bangun dan memberikan jawapan dalam kadar yang segera.

          Seterusnya, pada langkah 1, setiap kumpulan perlu melengkapkan permainan Puzzle dalam tempoh masa yang ditetapkan. Aktiviti ini mempunyai banyak pergerakan murid di mana mereka perlu bertukar-tukar kepingan Puzzle dengan kumpulan lain untuk melengkap Puzzle latar yang diberi. Hal ini demikian kerana, setiap kumpulan diberi kepingan Puzzle yang salah dan tidak mengikut jenis latar yang diberi. Jadi, semasa aktiviti ini berlangsung, masing-masing bergerak secara aktif di anatara satu kumpulan ke kumpulan yang lain untuk mencari padanan kepingan Puzzle yang sesuai bagi kumpulan masing-masing. Pada masa yang sama, wujud interaksi pelabagai hala di antara mereka.

          Penglibatan murid secara produktif dan aktif dalam langkah 2 ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dalam menjalankan aktiviti peta i-Think beracun. Murid perlu menganalisis skrip drama yang diperoleh bagi setiap kumpulan dengan menghuraikan jenis latar yang terkandung. Hasil perbincangan mereka ditulis di atas kertas A4 dan kemudiaan dilekatkan pada peta i-Think yang dipaparkan pada papan putih. Aktviti ini melibatkan kepantasan bagi setiap kumpulan untuk melengkapkan peta i-Think di hadapan kelas.

          Pada sesi penutup, murid-murid melibatkan diri secara produktif dan aktif dalam menjawab soalan yang ditanya oleh saya mengenai rangkuman sesi pengajajaran dan pembelajaran pada hari tersebut. Tiga orang murid terpilih dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru dengan baik. Kebijaksanaan mereka menjawab pertanyaan guru di dalam kelas membuktikan mereka melibatkan diri secara produktif dan aktif sepanjang berlangsungnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Adakah saya mengubah rancangan pengajaran saya semasa pengajaran saya? Mengapa?


Seorang guru tidak akan terlepas daripada mengubah rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah dirancang dengan rapi sebelum ini. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, perkara-perkara yang tidak diingin mungkin akan terjadi kepada mana-mana guru yang mengajar. Masalah teknikal seperti Overhead Projector (OHP) tidak berfungsi semasa set induksi memang biasa berlaku. Di samping itu, faktor masa yang tidak mencukupi juga menyebabkan guru terpaksa menyingkatkan sesi P&P. Justeru, setiap guru perlu bersedia untuk menghadapi situasi tersebut dengan membuat perancangan atau alternatif kedua bagi menampung kecatatan pada RPH yang dirancang.
          Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung, saya terpaksa menyingkatkan masa untuk menjalankan aktiviti lembaran kerja. Masa sebenar untuk aktiviti lembaran kerja ialah 4 minit. Jadi, atas faktor kekangan masa, saya terpaksa memperuntukkan masa selama 3 minit kepada murid untuk menjawab latihan yang disediakan. Faktor kekangan masa bagi langkah 3 berlaku kerana murid-murid banyak menghabiskan masa pada langkah 2.

Apakah bantuan tambahan, sokongan, dan / atau sumber-sumber lain yang dapat pertingkatkan pelajaran ini lagi?

Antara bantuan tambahan atau sokongan yang dapat mempertingkatkan lagi pengajaran guru ialah melalui aplikasi Prezi. Pengajaran mengenai perkaitan latar dengan peristiwa dalam drama Anna pada langkah 1 akan nampak lebih menarik jika dipersembahkan dalam bentuk pembentangan interaktif melalui aplikasi Prezi berbanding penggunaan slide Power Point. Aplikasi Prezi ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri seperti tema yang menarik, tulisan yang jelas dan animasi yang menarik. Murid juga akan lebih fokus dan menumpukan perhatian terhadap isi pengajaran yang disampaikan dalam bentuk aplikasi Prezi.

          Seterusnya, penggunaan peta i-Think dalam pengajaran jenis latar pada langkah 2 dapat dibuat penambahbaikan dari segi reka bentuknya. Saya melihat, peta i-Think yang dilakar di atas kad manila adalah kurang dari aspek ketahanannya. Sifat fizikal kad manila ini yang mudah koyak dan renyuk menyebabkan ia tidak dapat bertahan lama. Jadi, saya mencadangkan supaya kad manila ini digantikan dengan papan putih interaktif. Kebaikan papan putih interaktif ini ialah dari segi ianya mudah dipadam, tahan lasak dan boleh digunakan semula bagi subjek yang lain.

          Akhir sekali, aktiviti lembaran kerja bagi langkah 3 akan nampak lebih menyeronokkan jika dibuat dalam bentuk kuiz atas talian iaitu aplikasi Kahoot!. Konsep aplikasi Kahoot! ini adalah sama dengan lembaran kerja yang dibuat secara manual oleh guru. Aktiviti Kahoot! ini mempunyai banyak kebaikannnya. Murid akan didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Semua murid juga dapat menyelesaikan aktiviti Kahoot! ini secara serentak kerana setiap soalan yang disetkan di atas talian tersebut mempunyai had masa menjawab yang diperuntukkan. Di samping itu, guru juga tidak perlu lagi untuk menyemak jawapan murid kerana melalui aktiviti Kahoot! ini, semua jawapan murid telah disemak secara automatik dan markah bagi setiap murid juga turut dipaparkan pada penghujung aktiviti ini. Tiga orang murid yang mendapat mata tertinggi sewaktu aktiviti Kahoot! ini akan dipaparkan nama mereka di penghujung aktiviti.

Jika saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama, apakah yang saya akan buat secara berbeza? Mengapa?
Sekiranya saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini untuk kali yang kedua bagi kumpulan murid yang sama, saya akan menggunakan pendekatan yang berbeza. Pendekatan yang saya gunakan sebelum ini iaitu struktural mungkin tidak dapat dicapai oleh semua murid secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana, tahap kognitif mereka adalah berbeza-beza. Jadi, tidak semua murid dapat menguasai apa yang diajar oleh guru melalui aktiviti yang telah dirancang oleh guru di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

          Justeru, saya akan menggunakan pendekatan yang lain iaitu berdasarkan model gaya pembelajaran VAK iaitu visual, auditori dan kinestetik. Model gaya pembelajaran VAK adalah belajar secara secara langsung dengan cara melihat, mendengar dan bertindak. Model ini sangat menekankan kepada pengalaman dan penyesuaian gaya pembelajaran berdasarkan kemampuan pelajar. Terdapat tiga gaya pembelajaran di dalam model gaya pembelajarn VAK iaitu gaya pembelajaran  visual, gaya pembelajaran auditori dan gaya pembelajaran kinestetik.

          Gaya pembelajaran visual melihat kepada kecenderungan pelajar untuk melihat sesuatu teks, warna, gambar, jadual, gambarajah, carta sama ada di dalam buku, di papan hitam atau paparan komputer. Pengajaran latar di dalam drama Anna ini sangat sesuai untuk diajar menggunakan bahan berbantukan video. Guru juga boleh membuat rakaman video pendek mengenai drama Anna supaya murid memperoleh gambaran tentang peristiwa yang terkandung di dalam cerita tersebut. Di samping itu, penggunaan gambar yang membezakan tiga jenis latar iaitu latar masa, latar tempat dan latar dan masyarakat dapat membantu kefahaman murid dengan lebih jelas mengenai perbezaan ketiga-tiga latar tersebut. Sebenarnya, masih terdapat murid yang keliru untuk membezakan ketiga-tiga latar tersebut. Jadi, penggunanan visual sangat membantu mereka untuk mendapat gambaran yang lebih jelas lagi. Murid yang menggunakan visual sebagai bahan bantu mengajar mereka lebih mudah untuk mengingati, memahami arahan dan penerangan menerusi pembacaan ayat atau teks.
          Dalam pembelajaran auditori, pelajar adalah cenderung kepada belajar melalui mendengar seperti bunyi, muzik, nada, irama, suara, arahan atau penerangan secara lisan. Gaya pembelajaran auditori merupakan jenis pembelajaran yang menekankan pendengaran perkataan dan arahan lisan. Seseorang murid perlu mengingati penerangan melalui bacaaan kuat atau menggerakkan bibir ketika mempelajari sesuatu. Selain itu,murid-murid yang menggunakan jenis pembelajaran ini akan mengukuhkan ingatan dalam mendengar semula rakaman pita audio dan juga mengajar murid – murid lain serta berbincang dengan guru. Sebagai contohnya, murid tidak menyalin nota semasa guru memberi penerangan tentang perkaitan latar dengan peristiwa dalam drama Anna, tetapi dia hanya mendengar dan mengingati apa yang diterangkan sahaja. Selepas itu, apabila guru memberikan latihan kepada murid tersebut, dia dapat menjawab dengan baik menggunakan teknik ingat kembali. Oleh itu, murid tersebut menggunakan gaya pembelajaran auditori.

Apakah teori pengajaran dan pembelajaran yang saya telah praktikan dalam kelas saya? Terangkan dengan ringkas.

Teori pembelajaran merupakan alat yang digunakan untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih mendalam. Menurut Noriati, Boon & Sharifah Fakhriah (2009), teori pembelajaran ialah penjelasan temntang cara manusia dan haiwan belajar. Teori pembelajaran berusaha untuk menjelaskan cara manusia belajar dan memberi cadangan cara menyelesaikan masalah pembelajaran.
          Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, saya telah menggunakan teori pembelajaran Masteri. Menurut Bloom (1968), pembelajaran masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar. Pusat Perkembangan Kurikulum (2001) menyatakan pembelajaran Masteri adalah suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasilkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

          Langkah pertama dalam teori pembelajaran Masteri ialah penentuan hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran merupakan objektif pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid pada akhir sesuatu unit pembelajaran. Hasil pembelajaran perlu ditentukan untuk mengenal pasti apa yang perlu dikuasai oleh murid dan memberi tumpuan dalam penguasaan hasil pembelajaran. Objektif pengajaran dan pembelajaran saya berdasarkan Rancangan Pengajaran harian (RPH) yang dirancang ialah:

Objektif: Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
           i.            Menyenaraikan latar masa, latar tempat dan latar masyarakat dalam drama Anna melalui teknik Jelajah Puzzle 
         ii.            Menghuraikan sekurang-kurangnya tiga jenis kesesuaian latar dengan cerita dalam drama Anna melalui teknik Peta i-Think beracun

          Seterusnya, langkah kedua ialah merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Semasa merancang aktiviti P&P, saya telah mengambil kira kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza-beza. Jadi, saya telah membuat pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, saya turut menggunakan bahan bantu mengajar bagi membantu aktiviti pengajaran yang berlangsung. Melihat kepada RPH yang telah dilaksanakan, saya telah menggunakan pendekatan berpusatkan guru yang diaplikasikan dalam set induksi dan di awal langkah 1 iaitu menggunakan kaedah penerangan. Saya memberi penerangan kepada murid secara panjang lebar mengenai topik yang dibincangkan pada hari tersebut iaitu perkaitan latar dengan peristiwa di dalam drama Anna. Penerangan ini amat penting supaya murid memperoleh gambaran tentang topik yang akan diajarkan. Ia juga bertujuan untuk dijadikan panduan bagi murid mengikuti aktiviti yang akan mereka lalui.

          Setelah murid dapat memahami penerangan yang dijelaskan guru, saya telah menggunakan strategi pemusatan pelajar. Strategi yang berpusatkan pelajar ini menekankan lebih banyak peranan dan penglibatan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid mengambil bahagian dan bekerja secara aktif. Strategi yang saya perkenalkan ialah kaedah berkumpulan. Di dalam bentuk berkumpulan tersebut, murid melakukan aktiviti Jelajah Puzzle. . Bagi aktiviti Jelajah Puzzle, setiap kumpulan diedarkan satu set permainan Puzzle dan diperuntukkan selama 2 minit untuk menyelesaikannya. Setiap kumpulan perlu melengkapkan Puzzle masing-masing dengan bertukar-tukar Puzzle bersama ahli kumpulan yang lain. Hanya seorang wakil kumpulan sahaja yang perlu bergerak ke setiap kumpulan yang lain untuk bertukar-tukar Puzzle. Setelah Puzzle bagi setiap kumpulan lengkap. Setiap ahli dalam kumpulan perlu menyalin hasil Puzzle yang telah lengkap ke dalam buku nota masing-masing. Aktiviti ini sememangnya menggalakkan pelajar untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan pendapat dan didorong membuat keputusan yang berkesan. Secara tidak langsung, sikap kerjasama dapat dibentuk melalui aktiviti kumpulan.

          Seterusnya, saya turut membuat penilaian melalui aktiviti P&P yang telah dijalankan. Penilaian dalam pembelajaran Masteri perlu dirancang, dibina, dikendali dan ditadbir oleh guru. Penilaian ini berbentuk formatif dan sumatif yang berasaskan Ujian Rujukan Kriteria. Kedua-dua penilaian ini bersifat diagnostik. Penilaian juga adalah berdasarkan kepada hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Aktiviti penilaian yang diberikan kepada murid 4 Ehsan ialah melalui aktiviti peta i-Think beracun dan lembaran kerja. Peta i-Think beracun yang telah siap dibina oleh murid bagi setiap kumpulan perlu dicatat di dalam buku nota masing-masing. Saya sebagai guru akan membuat penilaian terhadap pembetangan murid ini berdasarkan rubrik pembentangan kumpulan yang merangkumi aspek isi, bahasa dan kerjasama ahli. Saya juga turut membuat rubrik penilaian bertulis bagi lembaran kerja murid.

          Langkah terkakhir bagi pembelajaran Masteri ialah tindakan susulan. Tindakan susulan ini dijalankan setelah kelemahan dan kekuatan pembelajaran murid dikenal pasti. Tindakan susulan bertujuan untuk memastikan kelemahan murid tidak terhimpun sehingga menjejaskan pembelajaran yang seterusnya. Tindakan susulan boleh dilakukan melalui aktiviti pemulihan dan pengayaan. Bagi mengesan murid saya sama ada perlu melalui aktiviti pemulihan dan pengayaan, saya akan mengedarkan satu set Traffic Light Cards yang terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning bagi setiap kumpulan. Warna hijau bermaksud murid sudah faham mengenai objektif pembelajaran pada hari tersebut. Warna kuning adalah pelajar masih keliru dengan pembelajaran dan warna merah bermaksud murid tersebut langsung tidak faham dengan pembelajaran pada hari tersebut. Semasa sesi penilaian, jika ramai murid yang mengangkat warna hijau, guru akan terus fokus kepada murid yang masih kurang faham, iaitu yang mengangkat warna merah dan kuning. Tetapi  jika ramai murid yang mengangkat warna kuning, guru mengulangi semula pengajaran. Seterusnya, saya akan menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan.







0 comments: