Follow us

Friday, 1 June 2018

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Makropengajaran 1

Refleksi Pengajaran dan Pembelajaran Makropengajaran 1


Tarikh:
9 April 2018

Kelas:
4 Ehsan

Matapelajaran:
Kesusasteraan Melayu

Hasil Pembelajaran:
Hasil Pembelajaran

Huraian Hasil Pembelajaran
Hasil Pembelajaran Utama (HPU)
6.0 Menghuraikan latar dalam drama

Hasil Pembelajaran Keseluruhan (HPK)

6.1  Menerangkan definisi latar tempat, latar masa, dan latar masyarakat dalam drama.

6.2  Menerangkan latar tempat, latar masa, dan latar masyarakat dalam drama.












Aras 1
i.                    Menyatakan definisi latar.



Aras 1
ii.                  Menyatakan jenis latar.



ABM/bahan sumber yang digunakan:
Makropengajaran 1 di kelas tersebut mengambil masa 28 minit 48 saat daripada bermulanya set induksi sehingga ke bahagian penutup. Mengulas tentang set induksi, alat bantu mengajar (ABM) yang saya gunakan ialah komputer riba, Overhead Projector (OHP) dan skrin layar. ABM tersebut membantu saya untuk menayangkan video bagi sesi induksi berkenaan topik yang diajarkan di dalam kelas. Di akhir tayangan video tersebut, saya mengemukakan soalan kepada murid untuk dijawab berdasarkan video yang ditonton. Video tersebut juga mempunyai perkaitan dengan topik yang akan diajar pada langkah 1 nanti.

          Seterusnya, saya juga masih menggunakan ketiga-tiga ABM tersebut iaitu komputer riba, Overhead Projector (OHP) dan skrin layar. Tujuannya ialah, saya perlu menayangkan slide Power Point berkenaan definisi latar kepada murid. Power Point ini merupakan sebuah perisian di dalam komputer yang boleh memuatkan nota dalam bentuk persembahan yang menarik. Penerangan tentang topik yang diajar sangat perlu supaya murid dapat gambaran yang jelas tentang apa yang akan mereka belajar di dalam kelas. Setelah selesai membuat penerangan melalui perisian Power Point, setiap murid dalam satu kumpulan diedarkan satu lembaran kerja. Lembaran kerja tersebut mengandungi soalan teka silang kata. Berdasarkan definisi latar yang dipelajari melalui pembentangan slide Power Point, murid perlu melengkapkan teka silang kata tersebut. Setelah lembaran kerja selesai, seorang murid bagi setiap kumpulan perlu melengkapkan pula teka silang kata tersebut pada komputer riba di hadapan kelas.

          Bagi langkah 2, ketiga-tiga ABM tersebut iaitu komputer riba, Overhead Projector (OHP) dan skrin layar masih digunakan. Saya menggunakan perisian Power Point untuk menerangkan kepada murid berkenaan jenis latar. Setelah aktiviti penerangan selesai, murid diedarkan satu set kertas sebak bagi setiap kumpulan. Saya juga membekalkan tiga batang pen marker yang berbeza warna kepada setiap kumpulan. Saya juga telah melakarkan peta i-Think bagi setiap kertas sebak yang diedarkan supaya dapat menjimatkan masa pelajar untuk mengisi topik yang dipelajari. Setiap kumpulan perlu menulis tiga jenis latar beserta definisinya dalam bentuk lakaran peta i-Think. Kemudian, setiap kumpulan perlu membentangkan hasil kerja masing-masing di hadapan guru dan murid-murid lain. Aktiviti bagi langkah 2 ialah Team World Web.

          Langkah 3, saya hanya menggunakan lembaran kerja. Soalan di dalam lembaran kerja tersebut merangkumi keseluruhan topik yang diajarkan di dalam kelas. Murid hanya diperuntukkan masa selama 4 minit untuk menjawabnya. Setelah murid selesai menjawab, lemabaran kerja murid dikutip untuk dibuat semakan.

          Bagi sesi penutup, saya telah menyediakan satu set Traffic Light Cards kepada setiap kumpulan. Satu set Traffic Light Cards tersebut mengandungi terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning. Warna hijau bermaksud murid sudah faham mengenai objektif pembelajaran pada hari tersebut. Warna kuning adalah pelajar masih keliru dengan pembelajaran dan warna merah bermaksud murid tersebut langsung tidak faham dengan pembelajaran pada hari tersebut. Semasa sesi penilaian, jika ramai murid yang mengangkat warna hijau, guru akan terus fokus kepada murid yang masih kurang faham, iaitu yang mengangkat warna merah dan kuning. Tetapi  jika ramai murid yang mengangkat warna kuning, guru mengulangi semula pengajaran.

Strategi pengajaran yang digunakan hari ini (terangkan bagaimana strategi telah dilaksanakan):

Strategi merujuk kepada satu set aksi pengajaran yang bertujuan mencapai matlamat yang diperlukan. Strategi pengajaran dan pembelajaran yang telah disarankan oleh kurikulum baru adalah berpusatkan pelajar. Di bawah strategi ini, peranan pelajar adalah diutamakan. Ini beerti, mereka didorongkan untuk melibatkan diri dalam proses pembelajaran secara keseluruhan dan bertindak secara aktif dalam semua aktiviti pembelajaran bilik darjah. Walau bagaimanapun, ada ketika tertentu, guru juga terpaksa memainkan peranannya lebih banyak. Guru perlu menukar strateginya untuk pengajaran yang lebih berkesan.

          Strategi dalam pengajaran dan pembelajaran boleh diklasifikasikan dalam tiga bentuk iaitu strategi pemusatan guru, strategi pemusatan pelajar dan strategi pemusatan bahan. Di dalam pengajaran dan pembelajaran makropengajaran 1 ini, saya menggunakan ketiga-tiga strategi iaitu strategi pemusatan guru, strategi pemusatan pelajar dan juga strategi pemusatan bahan. Strategi pemusatan guru diaplikasikan dalam set induksi dan di awal langkah 1 dan 2 iaitu menggunakan kaedah penerangan. Saya memberi penerangan kepada murid secara panjang lebar mengenai topik yang dibincangkan pada hari tersebut iaitu definisi dan jenis latar. Penerangan ini amat penting supaya murid memperoleh gambaran tentang topik yang akan diajarkan. Ia juga bertujuan untuk dijadikan panduan bagi murid mengikuti aktiviti yang akan mereka lalui.

          Seterusnya, saya juga menggunakan strategi pemusatan pelajar. Strategi yang berpusatkan pelajar ini menekankan lebih banyak peranan dan penglibatan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid mengambil bahagian dan bekerja secara aktif. Strategi yang saya perkenalkan ialah kaedah berkumpulan. Di dalam bentuk berkumpulan tersebut, murid melakukan aktiviti Team World Web. Setiap kumpulan perlu menulis tiga jenis latar dalam bentuk peta i-Think dengan menggunakan warna pen yang berbeza. Murid menulis jenis latar di atas kertas sebak yang mengandungi peta i-Think yang kosong dan perlu diisi. Setiap kumpulan akan diberi peta i-Think yang berbeza iaitu peta buih, peta dakap dan peta pokok. Setelah selesai, setiap kumpulan akan melakukan pembentangan. Aktiviti ini sememangnya menggalakkan pelajar untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan pendapat dan didorong membuat keputusan yang berkesan. Secara tidak langsung, sikap kerjasama dapat dibentuk melalui aktiviti kumpulan.

          Strategi yang berpusatkan bahan menekankan lebih banyak kepada peranan dan penggunaan bahan-bahan pengajaran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan bahan dalam pengajaran sememangnya dapat membantu tugas-tugas guru dalam kelas dan turut membantu murid dalam melaksanakan pembelajaran kendiri dengan berkesan. Saya telah menyediakan pelbagai bahan kepada murid sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pada langkah 1, saya menyediakan lemabaran kerja yang mengandungi soalan teka silang kata. Langkah 2 pula saya membekalkan kertas sebak bagi setiap kumpulan dan juga pen marker yang berwarna warni. Saya juga turut mengedarkan satu lagi lembaran kerja pada langkah 3 sebagai aktiviti pengukuhan bagi sesi pengajaran dan pembelajaran murid. Sesi penutup pula saya menyediakan satu set Traffic Light Cards kepada setiap kumpulan. Satu set Traffic Light Cards tersebut mengandungi terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning. Saya melihat bahawa penggunaan murid terhadap bahan-bahan tersebut secara sepenuhnya dapat menyalurkan pengetahuan dan menggerakkan aktiviti untuk menguasai sesuatu kemahiran.

Adakah hasil pembelajaran saya dicapai? Bagaimana saya tahu?



Objektif pengajaran dan pembelajaran tidak tercapai sepenuhnya. Hal ini demikian kerana, pada langkah 1 murid tidak dapat menyatakan definisi latar dengan tepat walaupun penulisan definisi latar tersebut sudah diubahsuai dalam bentuk latihan yang mudah iaitu soalan teka silangkata di dalam  lembaran kerja. Murid hanya dapat melengkapkan soalan teka silangkata tersebut setelah mendapat bantuan daripada guru. Berdasarkan pemerhatian saya, definisi yang saya terangkan melalui slide Power Point kepada murid sangat panjang dan menyukarkan mereka untuk mengingatinya. Saya sepatutnya perlu meringkaskan lagi huraian definisi latar tersebut supaya objektif pada langkah 1 ini tercapai.

          Walau bagaimanapun, objektif pengajaran dan pembelajaran pada langkah 2 telah tercapai. Melalui objektif ini, murid perlu menyatakan sekurang-kurangnya tiga jenis latar dengan tepat. Berdasarkan penerangan saya mengenai tiga jenis latar yang saya terangkan melalui slide Power Point, murid dapat memahaminya dengan baik. Hal ini demikian kerana, persembahan slide Power Point tersebut sangat menarik dengan menggunakan hyperlink dan juga gambar-gambar rangsangan. Setelah mendapat kefahaman yang jelas melalui penerangan guru, murid dapat melakukan aktiviti Team World Web dengan baik. Peta i-Think yang dibina oleh setiap kumpulan di atas kertas sebak sangat menarik dan lengkap dengan maklumat-maklumat yang diperlukan. Pembentangan yang baik dan lancar bagi setiap kumpulan menunjukkan mereka faham akan topik yang diajarkan.
Adakah murid saya melibatkan diri secara produktif /aktif? Kalau ya - bagaimana saya tahu? Kalau tidak – mengapa?

Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran tersebut, saya dapat simpulkan bahawa murid kelas 4 Ehsan melibatkan diri secara produktif dan aktif. Pada sesi induksi, murid aktif dalam memberikan respon terhadap video yang dipaparkan oleh guru di hadapan kelas. Tiga orang murid yang ditanya oleh guru melalui video yang ditonton memberikan jawapan bernas dan intelek. Masing-masing tidak malu-malu untuk tampil memberikan jawapan terhadap soalan yang diutarakan. Apabila diminta memberikan jawapan terhadap soalan yang dikemukan, murid-murid ini lantas bangun dan memberikan jawapan dalam kadar yang segera.

          Seterusnya, pada langkah 1, wakil setiap kumpulan perlu melengkapkan soalan teka silangkata pada komputer riba di hadapan kelas. Aktiviti ini memerlukan kepantasan bagi setiap kumpulan untuk menyempurnakan soalan teka silangkata tersebut. Wakil setiap kumpulan bergerak dengan aktif untuk mengisi jawapan kepada soalan tersebut. Apabila masing-masing berlumba-lumba dalam menjalankan aktiviti ini, soalan teka silangkata tersebut dapat siap sebelum tempoh masa yamg diperuntukkan.

          Penglibatan murid secara produktif dan aktif dalam langkah 2 ini dapat dilihat melalui kerjasama mereka dalam membina peta i-Think di atas kertas sebak mengenai tiga jenis latar yang dipelajari. Murid dapat berinteraksi dan saling bertukar-tukar pendapat dalam melengkap peta i-Think tersebut. Suasana di dalam kelas menjadi sedikit riuh rendah dengan aktiviti Team World Web yang melibatkan perbincangan murid-murid di dalam kelas.

          Pada sesi penutup, murid-murid melibatkan diri secara produktif dan aktif dalam menjawab soalan yang ditanya oleh saya mengenai rangkuman sesi pengajajaran dan pembelajaran pada hari tersebut. Dua orang murid terpilih dapat menjawab soalan yang dikemukakan oleh guru dengan baik. Kebijaksanaan mereka menjawab pertanyaan guru di dalam kelas membuktikan mereka melibatkan diri secara produktif dan aktif sepanjang berlangsungnya aktiviti pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Adakah saya mengubah rancangan pengajaran saya semasa pengajaran saya? Mengapa?


Seorang guru tidak akan terlepas daripada mengubah rancangan pengajaran harian (RPH) yang telah dirancang dengan rapi sebelum ini. Semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di dalam kelas, perkara-perkara yang tidak diingin mungkin akan terjadi kepada mana-mana guru yang mengajar. Masalah teknikal seperti Overhead Projector (OHP) tidak berfungsi semasa set induksi memang biasa berlaku. Justeru, setiap guru perlu bersedia untuk menghadapi situasi tersebut dengan membuat perancangan atau alternatif kedua bagi menampung kecatatan pada RPH yang dirancang.
          Semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung, saya tidak dapat menjalankan langkah 3 iaitu menyiapkan lembaran kerja kerana kesuntukan masa. Saya telah membuat keputusan sendiri untuk menagguh langkah 3 tersebut untuk dijalankan di dalam kelas. Saya meminta lembaran kerja tersebut disiapkan oleh pelajar di rumah. Saya juga sempat berpesan kepada mereka untuk menghantar kembali lembaran kerja yang telah disiapkan untuk disemak oleh saya.

Apakah bantuan tambahan, sokongan, dan / atau sumber-sumber lain yang dapat pertingkatkan pelajaran ini lagi?

Antara bantuan tambahan atau sokongan yang dapat mempertingkatkan lagi pengajaran guru ialah melalui video Powtoon. Pengajaran definisi latar pada langkah 1 akan nampak lebih menarik jika dipersembahkan dalam bentuk video Powtoon berbanding penggunaan slide Power Point. Video Powtoon mempunyai keistimewaannya yang tersendiri seperti mengandungi audio, karakter animasi dan latar tulisan yang menarik. Murid akan lebih fokus dan menumpukan perhatian terhadap isi pengajaran yang disampaikan dalam bentuk video Powtoon.

          Seterusnya, penggunaan peta i-Think dalam pengajaran jenis latar pada langkah 2 dapat dibuat penambahbaikan dari segi reka bentuknya. Saya melihat, peta i-Think yang dilakar di atas kertas sebak adalah kurang dari aspek kekemasannya. Sifat fizikal kertas sebak ini yang mudah koyak dan renyuk menyebabkan ia tidak dapat bertahan lama. Jadi, saya mencadangkan supaya kertas sebak ini digantikan dengan papan putih interaktif. Kebaikan papan putih interaktif ini ialah dari segi ianya mudah dipadam, tahan lasak dan boleh digunakan semula bagi subjek yang lain.

          Akhir sekali, aktiviti lembaran kerja bagi langkah 3 akan nampak lebih menyeronokkan jika dibuat dalam bentuk kuiz atas talian iaitu Quizizz. Konsep Quizizz ini adalah sama dengan lembaran kerja yang dibuat secara manual oleh guru. Aktiviti Quizizz ini mempunyai banyak kebaikannnya. Murid akan didedahkan dengan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi. Semua murid juga dapat menyelesaikan aktiviti Quizizz ini secara serentak kerana setiap soalan yang disetkan di atas talian tersebut mempunyai had masa menjawab yang diperuntukkan. Di samping itu, guru juga tidak perlu lagi untuk menyemak jawapan murid kerana melalui aktiviti Quizizz ini, semua jawapan murid telah disemak secara automatik dan markah bagi setiap murid juga turut dipaparkan pada penghujung aktiviti ini. 
Jika saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini sekali lagi untuk kumpulan murid yang sama, apakah yang saya akan buat secara berbeza? Mengapa?
Sekiranya saya mempunyai peluang untuk mengajar pelajaran ini untuk kali yang kedua bagi kumpulan murid yang sama, saya akan menggunakan pendekatan yang berbeza. Pendekatan yang saya gunakan sebelum ini iaitu struktural mungkin tidak dapat dicapai oleh semua murid secara keseluruhan. Hal ini demikian kerana, tahap kognitif mereka adalah berbeza-beza. Jadi, tidak semua murid dapat menguasai apa yang diajar oleh guru melalui aktiviti yang telah dirancang oleh guru di dalam Rancangan Pengajaran Harian (RPH).

          Justeru, saya akan menggunakan pendekatan yang lain iaitu mengalami dan menghayati. Pendekatan ini dilihat sesuai bagi semua murid yang mempunyai tahap kognitif yang berbeza. Pendekatan mengalami dan menghayati memerlukan murid membuat aktiviti lakonan. Bakat lakonan ini kebiasaannya ada di dalam diri setiap murid. Melalui aktiviti lakonan yang bersifat aktiviti simulasi, murid-murid mudah untuk memahami isi pengajaran yang diajar oleh guru. Mereka dapat melihat gambaran yang sebenar melalui situasi yang dilakonkan oleh mereka atau rakan-rakan yang lain. Teknik lakonan ini lebih bersifat praktikal dan tidak terlalu menekankan teori semata-mata.
Apakah teori pengajaran dan pembelajaran yang saya telah praktikan dalam kelas saya? Terangkan dengan ringkas.

Teori pembelajaran merupakan alat yang digunakan untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih mendalam. Menurut Noriati, Boon & Sharifah Fakhriah (2009), teori pembelajaran ialah penjelasan temntang cara manusia dan haiwan belajar. Teori pembelajaran berusaha untuk menjelaskan cara manusia belajar dan memberi cadangan cara menyelesaikan masalah pembelajaran.
          Berdasarkan sesi pengajaran dan pembelajaran yang telah dijalankan, saya telah menggunakan teori pembelajaran Masteri. Menurut Bloom (1968), pembelajaran masteri merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokuskan penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang diajar. Pusat Perkembangan Kurikulum (2001) menyatakan pembelajaran Masteri adalah suatu pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran yang dihasilkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum berpindah ke unit pembelajaran yang seterusnya. Pendekatan ini memerlukan peruntukan masa yang mencukupi serta proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.

          Langkah pertama dalam teori pembelajaran Masteri ialah penentuan hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran merupakan objektif pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid pada akhir sesuatu unit pembelajaran. Hasil pembelajaran perlu ditentukan untuk mengenal pasti apa yang perlu dikuasai oleh murid dan memberi tumpuan dalam penguasaan hasil pembelajaran. Objektif pengajaran dan pembelajaran saya berdasarkan Rancangan Pengajaran harian (RPH) yang dirancang ialah:

Objektif: Pada akhir pembelajaran, murid dapat:
           i.            Menyatakan definisi latar dengan tepat melalui teknik Quick Quiz. 

         ii.            Menyatakan sekurang-kurangnya tiga jenis latar melalui teknik Team Word Web.

          Seterusnya, langkah kedua ialah merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Semasa merancang aktiviti P&P, saya telah mengambil kira kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza-beza. Jadi, saya telah membuat pelbagai kaedah pengajaran dan pembelajaran. Seterusnya, saya turut menggunakan bahan bantu mengajar bagi membantu aktiviti pengajaran yang berlangsung. Melihat kepada RPH yang telah dilaksanakan, saya telah menggunakan pendekatan berpusatkan guru yang diaplikasikan dalam set induksi dan di awal langkah 1 dan 2 iaitu menggunakan kaedah penerangan. Saya memberi penerangan kepada murid secara panjang lebar mengenai topik yang dibincangkan pada hari tersebut iaitu definisi dan jenis latar. Penerangan ini amat penting supaya murid memperoleh gambaran tentang topik yang akan diajarkan. Ia juga bertujuan untuk dijadikan panduan bagi murid mengikuti aktiviti yang akan mereka lalui.

          Setelah murid dapat memahami penerangan yang dijelaskan guru, saya telah menggunakan strategi pemusatan pelajar. Strategi yang berpusatkan pelajar ini menekankan lebih banyak peranan dan penglibatan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Murid mengambil bahagian dan bekerja secara aktif. Strategi yang saya perkenalkan ialah kaedah berkumpulan. Di dalam bentuk berkumpulan tersebut, murid melakukan aktiviti Team World Web. Setiap kumpulan perlu menulis tiga jenis latar dalam bentuk peta i-Think dengan menggunakan warna pen yang berbeza. Murid menulis jenis latar di atas kertas sebak yang mengandungi peta i-Think yang kosong dan perlu diisi. Setiap kumpulan akan diberi peta i-Think yang berbeza iaitu peta buih, peta dakap dan peta pokok. Setelah selesai, setiap kumpulan akan melakukan pembentangan. Aktiviti ini sememangnya menggalakkan pelajar untuk berinteraksi, bertukar-tukar pandangan dan pendapat dan didorong membuat keputusan yang berkesan. Secara tidak langsung, sikap kerjasama dapat dibentuk melalui aktiviti kumpulan.

          Seterusnya, saya turut membuat penilaian melalui aktiviti P&P yang telah dijalankan. Penilaian dalam pembelajaran Masteri perlu dirancang, dibina, dikendali dan ditadbir oleh guru. Penilaian ini berbentuk formatif dan sumatif yang berasaskan Ujian Rujukan Kriteria. Kedua-dua penilaian ini bersifat diagnostik. Penilaian juga adalah berdasarkan kepada hasil pembelajaran yang telah ditetapkan. Aktiviti penilaian yang diberikan kepada murid 4 Ehsan ialah melalui aktiviti pembentangan murid dan lembaran kerja. Peta i-Think yang telah siap dibina oleh murid bagi setiap kumpulan akan dibentang di hadapan guru dan murid-murid lain. Saya sebagai guru akan membuat penilaian terhadap pembetangan murid ini berdasarkan rubrik pembentangan kumpulan yang merangkumi aspek isi, bahasa dan kerjasama ahli. Saya juga turut membuat rubrik penilaian bertulis bagi lembaran kerja murid.

          Langkah terkakhir bagi pembelajaran Masteri ialah tindakan susulan. Tindakan susulan ini dijalankan setelah kelemahan dan kekuatan pembelajaran murid dikenal pasti. Tindakan susulan bertujuan untuk memastikan kelemahan murid tidak terhimpun sehingga menjejaskan pembelajaran yang seterusnya. Tindakan susulan boleh dilakukan melalui aktiviti pemulihan dan pengayaan. Bagi mengesan murid saya sama ada perlu melalui aktiviti pemulihan dan pengayaan, saya akan mengedarkan satu set Traffic Light Cards yang terdiri daripada warna hijau, merah dan kuning bagi setiap kumpulan. Warna hijau bermaksud murid sudah faham mengenai objektif pembelajaran pada hari tersebut. Warna kuning adalah pelajar masih keliru dengan pembelajaran dan warna merah bermaksud murid tersebut langsung tidak faham dengan pembelajaran pada hari tersebut. Semasa sesi penilaian, jika ramai murid yang mengangkat warna hijau, guru akan terus fokus kepada murid yang masih kurang faham, iaitu yang mengangkat warna merah dan kuning. Tetapi  jika ramai murid yang mengangkat warna kuning, guru mengulangi semula pengajaran. Seterusnya, saya akan menjalankan aktiviti pemulihan dan pengayaan.







0 comments: